728x90 AdSpace

Latest News

Hadis 16 - Bukan dari golongan kami

Daripada Amru bin Syuaib dari bapanya dari datuknya berkata : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Bukan dari golongan kami sesiapa yang menyerupai selain dari agama kami. Janganlah kalian menyerupai kaum Yahudi dan juga Nasrani. Sesungguhnya cara Yahudi mereka memberi salam dengan isyarat jari-jemari manakala Nasrani pula dengan isyarat tangan" Riwayat At-Tarmizi

Sebagai umat yang mulia, seseorang muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan apa yang diajarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu Nabi s.a.w. menyarankan agar umat ini sentiasa menjaga dan membiasakan diri dengan melarang menyerupai akhlak, suluk, tabiat dan penampilan kaum yang beragama selain Islam atau orang-orang kafir seperti Yahudi dan Nasrani. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :“Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi kerana sesungguhnya mereka memberi salam menggunakan dengan kepala, tangan dan isyarat.“

Riwayat An-Nasaie
Adapun larangan ini ditujukan khas bagi sesiapa yang mampu memberi salam tetapi tidak mengucapkannya, kecuali jika ada keuzuran, seperti orang bersembahyang, bisu dan orang yang diberi salam itu jauh jaraknya sepertimana yang diriwayatkan daripada Asma’ r.a. beliau berkata yang bermaksud : Nabi s.a.w. telah melalui dalam masjid dan dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda. Riwayat At-Tirmizi


Wajib bagi orang-orang yang beriman menjalani kehidupan ini di atas jalan yang di lalui oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. dan wajib mengikuti dan mencontohi segala adat dan ikutan yang membawa kepada kesahihan aqidah dan kesucian prinsip dari ajaran nabi. Setiap agama dan bangsa manusia dinilai prinsip dan pegangannya dari sudut pakaian dan penampilannya. Oleh yang demikian wajiblah bagi umat Islam menjaga keteguhan aqidahnya dengan segala upayanya melalui kemampuan fizikal, spiritual dan kemanusiannya. Nabi s.a.w. selalu memerintahkan umat Islam untuk berbeza dengan orang kafir baik dalam kehidupan seharian serta dalam perayaan mereka misalnya perayaan Natal, Valentine dan yang lain-lain. Sebelum itu Allah s.w.t. juga melarang umat Islam mengikuti jejak langkah orang-orang kafir sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud :


“Dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik ”

Al-Hadid : 16

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); Sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”

Al-Maidah : 51
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah r.a. mengatakan : “Dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah serta ijma’ telah memerintahkan supaya menyelisihi orang-orang kafir dan melarang menyerupai mereka. Sebab menyerupai mereka secara lahiriyah merupakan sebab menyerupai tabiat dan tingkah laku mereka yang tercela. Bahkan merupakan sebab meniru keyakinan-keyakinan sesat mereka. Dan dapat mewariskan benih-benih kecintaan dan kesetiaan dalam batin kepada mereka. Sebagaimana kecintaan dalam hhati dapat menyeret kepada penyerupaan dalam bentuk lahiriyah.”
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments
Item Reviewed: Hadis 16 - Bukan dari golongan kami Rating: 5 Reviewed By: OM