728x90 AdSpace

Latest News

Meninjau Kesan Peperangan di Vietnam


Tourist Guide showing how the Viet Cong entered the tunnel

Too big for the tunnel
Sedih melihat kesan peperangan di Vietnam

KESEMPATAN melawat HCM City baru-baru ini meninggalkan kenangan istimewa dalam hidup saya.

Kami tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Bandar Ho Chi Minh, Vietnam jam 5 petang, kami terus memulakan perjalanan memasuki kawasan bandar yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lapangan terbang untuk melawat Pejabat Pos Besar yang juga terbesar di Vietnam.

Ia dibina pada awal kurun ke-10 ketika negara ini di bawah jajahan Perancis. Struktur binaannya umpama stesen kereta api Eropah dengan jam besar di tengah astaka.

Kami menikmati makan malam di sebuah restoran halal sebelum ´check in´ di Hotel Somerset di Bandar Ho Chi Minh yang dulunya dikenali sebagai Saigon. Ho Chi Minh pernah diduduki Perancis dan digelar Mutiara Timur (Paris di Timur), bahkan kesan tinggalan penjajah dapat dilihat menerusi seni bina beberapa bangunan lama.

Ibu negara Vietnam dengan kepadatan penduduk melebihi lapan juta orang itu lebih dikenali sebagai ´bandar motosikal´ kerana lebih empat juta penduduknya menggunakan kenderaan itu dalam urusan seharian.

Mereka boleh letak apa saja di atas motosikal selagi termampu sama ada peti sejuk, kotak buah-buahan, sayur-sayuran, batang besi, pintu, kepingan logam, semuanya boleh berbanding Malaysia atau negara lain yang hanya membawa seorang pembonceng.

Lawatan hari kedua ialah ke Terowong Cu Chi yang terletak di War Memorial Park di daerah Cu Chi, kira-kira 70 kilometer (km) dari Ho Chi Minh. Ia adalah rangkaian terowong bawah tanah dengan binaan sejauh 200 km yang terletak di antara 1 hingga 40 meter di bawah tanah yang digunakan ketika Perang Vietnam.

Terowong ini wujud sejak 1940 ketika Vietnam berperang dengan Perancis dan terus digunakan ketika tentera Amerika dikerah ke Vietnam bagi menghalang komunis di utara Vietnam mengambil alih selatan Vietnam.

Terowong ini mempunyai pelbagai bilik termasuk bilik senjata dan peluru, makanan, hospital, dapur dan bilik mesyuarat yang tidak dapat dihidu tentera Amerika.

Terowong ini merentangi bawah tanah daerah Cu Chi dan boleh tembus sehingga ke Sungai Saigon yang terletak di pusat bandar.

Di satu sudut, anda boleh juga merasai makanan ubi kayu rebus dicicah dengan kacang tumbuk yang pernah mengisi perut pejuang Viet Kong dan mencuba kemahiran menembak di lapang sasar.

Sejarah menyatakan, terowong ini adalah simbol kekuatan, ketabahan, keberanian dan kesungguhan rakyat Vietnam berjuang mendapatkan kebebasan mutlak.

Ironinya, tentera Amerika membina khemah di atas tanah yang dasar bawahnya adalah Terowong Cu Chi. Selepas 1975 dan berakhirnya Perang Vietnam, terowong ini tidak lagi digunakan sehingga kini.

Selepas dua jam di terowong itu, kami kembali ke Saigon dan menuju ke muzium perang paling terkenal, iaitu War Remnants Museum yang menimbulkan perasaan sayu dan sedih melihat penderitaan mangsa peperangan yang boleh menyebabkan kita menangis.

Ia juga muzium dokumen perang yang menyimpan gambar dan sejarah Perang Vietnam. Selain sejarah ketika perang, gambaran kesan selepas perang iaitu kecacatan genetik kekal akibat racun Orange juga dipamerkan.

Diberitakan, tentera AS menyembur kira-kira 75 juta liter agen Orange dan racun rumpai lain di satu pertiga daripada keluasan Vietnam Selatan antara 1962 hingga 1971 bagi merosakkan tanaman dan hutan yang menjadi tempat perlindungan gerila.

Seterusnya, kami ke Pasar Ben Thanh yang terkenal sebagai syurga beli-belah di kalangan pelancong luar. Kami menghabiskan masa hampir dua jam di pasar tertua Vietnam itu yang menjadi nadi ekonomi penduduk tempatan dengan menjual pelbagai produk kraftangan, pakaian, kain sutera, beg, cenderahati dan barangan perhiasan rumah.

Terletak di tengah pusat bandar, Pasar Ben Thanh yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang sentiasa sibuk dengan kunjungan masyarakat tempatan dan pelancong luar bagi mendapatkan ole-ole sebagai tanda kenangan.

Lebih menarik, selain mata wang Dong Vietnam, Dolar AS (AS$) dan Ringgit Malaysia (RM) boleh digunakan di sini, cuma dalam soal tawar-menawar harga, mesin kira adalah alat terpenting jika peniaga tidak faham bahasa Inggeris.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments
Item Reviewed: Meninjau Kesan Peperangan di Vietnam Rating: 5 Reviewed By: OM