Takwa, saling hormat selesai kemelut kehidupan manusia
AGAMA pada satu sisi negatif digambarkan sebagai pencetus konflik sehingga menyebabkan perang berpanjangan. Paling malang ialah agama Islam apabila hampir keseluruhan pertumpahan darah di dunia membabitkan perasaan prejudis kepada umat Islam. Islam disalahkan dan dijenamakan pihak Barat sebagai agama pengganas. Apa juga bentuk keganasan berlaku, dunia Barat khususnya terus menuding jari menyalahkan agama Islam. Maka dengan serta-merta melaungkan perang menentang keganasan tetapi lebih menjurus kepada perang ke atas Islam.
Samuel P Huntington dalam karya hebatnya The Clash of Civilizations menyatakan salah satu pencetus konflik dan perang di dunia selepas era perang dingin adalah perbezaan budaya dan agama.
Malangnya, beliau cenderung melihat Islam sebagai wilayah berdarah dengan menyatakan hampir kesemua konflik antara tamadun membabitkan agama Islam. Tesis beliau dikritik beberapa ahli akademik, antaranya Amartya Sen yang mengatakan kepelbagaian budaya dan agama adalah salah satu ciri utama hampir kesemua tamadun termasuklah tamadun Barat.
Begitu juga kenyataan Menteri di Eropah pada 2002, Peter Hain, yang menuduh umat Islam di England sebagai golongan pemisah (disinonimkan sebagai ekstremis agama) dikritik semula editor majalah The Guardian sebagai tuduhan tidak objektif dan berat sebelah.
Tidak dinafikan banyak konflik berdarah di dunia dicetuskan puak pelampau dan fanatik agama. Contohnya, pembunuhan tokoh politik Indra Ghandi oleh pelampau Sikh, Rajiv Ghandi (pelampau ‘Tamil Tigers’ di Sri Lanka), Yitzak Rabin (Ultra-Orthodoks Yahudi), pembersihan etnik Bosnia (pelampau ortodoks Kristian Yugoslavia), rusuhan berdarah Hindu-Muslim di Gujerat India (pelampau Hindu dan Islam).
Sedang berlangsung tanpa berkesudahan krisis kemanusiaan berbaur etnik dan agama di Myanmar membabitkan etnik Muslim Rohingya, Selatan Thailand, dan Melayu Moro di Filipina.
Menyaksikan senario hari ini, teringat perbualan antara malaikat dan Allah SWT yang dikisahkan dalam surah al-Baqarah, ayat 30. Sedari awal penciptaan manusia lagi, malaikat berasa khuatir mengenai pertumpahan darah yang dicetuskan manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi, mereka berkata: Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau. Dia berfirman: Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Begitulah penciptaan manusia jika hilang sifat insaniahnya, maka huru-hara bumi ini dengan pelbagai bencana dan pertumpahan darah. Namun, tujuan utama penciptaan manusia sebenarnya adalah untuk berperanan sebagai khalifah di dunia.
Bagi yang memahami tujuan itu, sudah tentu dunia ini akan sunyi daripada sebarang persengketaan pemusnah generasi manusia. Allah SWT berfirman maksudnya: “Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.”
Tujuan utama Allah SWT menciptakan kepelbagaian rupa dan bangsa dalam kalangan manusia adalah berdasarkan nas al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Maksud kalamullah itu dapat menemukan kita jawapan dan penyelesaian kepada segala persengketaan manusia di dunia iaitu saling menghormati setelah masing-masing bertaaruf dan berkenalan.
Bukan mudah untuk mencipta perasaan saling menghormati. Disebabkan itulah semulia-mulia manusia adalah yang bertakwa.
Hormat-menghormati terbit dari rasa takwa yang tinggi dalam diri.
Bukan senang mahu meletak tepi ego diri dan bangsa sendiri sebagai terpuji. Oleh itu, kembalilah mengingati asal kejadian manusia dari tanah, maka kepada tanah jugalah tempat kembali. Jika agama tidak dapat menyatukan, apakah salah kita bersatu dan hidup aman harmoni atas nama perikemanusiaan? Itulah penyelesaian kepada kemelut membelenggu kehidupan manusia hari ini.